Monday, April 4, 2011

Shaheizy Sam ABPBH






Shaheizy Sam genggam trofi ABPBH jadi nyata



SELAMA ini dia hanya memerhatikan dari jauh rakan seperjuangannya menggenggam trofi yang menjadi idaman ramai itu. Malah, jauh di sudut hatinya, pernah juga timbul angan-angan untuk memiliki anugerah yang sama. Namun sedar akan kekurangan diri, membuatkan pelakon Shaheizy Sam lebih selesa menyimpan saja hasratnya itu dan menjadikannya sebagai rahsia peribadi.

Tapi, siapa sangka, dari angan-angan, bertukar menjadi kenyataan. Bermula daripada sebuah mimpi, kini ia bertukar menjadi realiti. Anugerah Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH 2010) yang pernah diimpikannya suatu waktu dulu kini menjadi milik mutlaknya.
Saat namanya diumumkan sebagai pemenang kategori itu, Sam sedang ditemubual di belakang pentas kerana sebelum itu dia juga mengungguli kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. Ternyata Tuhan menjawab doa jejaka ini apabila hasratnya itu dimakbulkan walaupun mengambil masa agak lama.

“Sebelum ini memang saya hanya melihat dari jauh bagaimana artis lain naik ke pentas untuk menerima anugerah Bintang Popular. Terdetik juga dalam hati untuk menjadi seperti mereka. Tapi bila saya sedar yang saya tidaklah popular mana, saya pendamkan saja hasrat itu dalam hati. Maklum saja, sewaktu awal-awal kemunculan saya dalam bidang ini, tak siapa yang sedar kewujudan saya dalam bidang ini.

“Sehinggakan pada suatu ketika kelibat saya jarang muncul di kaca televisyen, mereka menyangkakan saya sudah tidak mahu berlakon lagi,” terang jejaka ini.

Pada malam kemuncak ABPBH 2010 yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, malam kelmarin, Sam dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dengan menerima undian sebanyak 126,168 undian sekali gus menewaskan calon kegemaran lain seperti Shahir, Zizan, Aznil Nawawi dan Faizal Tahir.
Dengan kemenangan itu Sam membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM310,000, iaitu kenderaan Nissan Teana 2.0 berharga RM133,400 tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, aksesori mutiara putih koleksi Primadona Klasik tajaan Rafflesia/Mandalay bernilai RM180,000, hadiah iringan dan trofi.

Sambil mengakui persaingan sememangnya cukup hebat, Sam menyifatkan kemenangan itu sebagai isyarat daripada peminat yang menyukai hasil kerjanya.

“Apabila saya menang kategori ini, saya tidak melihat perkara itu sebagai kemenangan dari segi populariti saja tetapi juga satu cara untuk peminat menghargai cara kerja kita. Saya ceburi bidang lakonan kerana saya amat meminatinya dan bukan kerana mahu mengejar populariti. "Begitupun saya percaya, apabila kita buat kerja dengan ikhlas, kita akan mendapat ganjarannya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama keluarga yang banyak memberi sokongan dan dorongan, juga untuk media kerana menulis banyak cerita mengenai saya. Tanpa tulisan anda, saya tidak akan dikenali.

“Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada peminat yang sanggup membeli akhbar hari-hari, hantar borang undian. Bukan calang-calang orang boleh buat kerja seperti itu dan saya amat menghargainya,” ujar jejaka yang berusia 29 tahun ini.

Ketika namanya diumumkan sebagai pemenang, Sam secara spontan menjemput ibunya yang lebih dikenali sebagai Mummy Khaty naik ke pentas.

Ditanya apakah rasionalnya dia berbuat demikian, tiba-tiba air mata lelakinya gugur membasahi pipi. Suasana menjadi bungkam dan selepas sedu-sedannya reda, barulah Sam kembali bersuara dan menjelaskan segala-galanya.

“Apa yang saya buat selama ini adalah semata-mata untuk ibu saya. Dialah hidup saya dan saya buat semua ini hanyalah kerananya. Sebagai seorang ibu tunggal, dialah yang bersusah payah untuk membesarkan saya dan kerana itulah saya mahu dia bersama-sama dengan saya di atas pentas untuk berkongsi kegembiraan itu.

“Masih terbayang betapa setiap pagi dia akan mengundi saya bukan saja menerusi undian pos, tetapi juga melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS). Kalau dia tak berkesempatan untuk membeli akhbar, dia sanggup cari orang lain untuk menolongnya asalkan rutin hariannya untuk mengundi saya termakbul,” katanya yang akan menghadiahkan kalung kemenangannya itu kepada ibu tercinta.

Mengulas stigma yang sering diberikan kepada pelakon yang menang anugerah iaitu akan bersikap demanding dan mula naik harga, Sam menegaskan perkara itu tak mungkin akan berlaku dan penerbit tidak perlu risau kerana dia masih seperti Sam yang dulu.

Harap Sam tidak berubah

HANYA air mata gembira menitis di pipi ibu penyayang itu apabila anak bongsunya diumumkan sebagai Bintang Paling Popular 2010.

Sebagai insan paling akrab, Mummy Khaty mengakui banyak laluan getir yang perlu ditempuhi Sam, namun segala-galanya dihadapi tanpa keluh kesah.

“Sam mula berlakon sejak 12 tahun, jadi Mummy dan semua adik-beradiknya tahu Sam memang berbakat. Cuma barangkali rezeki belum menyebelahinya, hinggalah tibanya hari ini.

“Mummy sekadar memberi galakan dan tidak henti mendoakan kejayaan serta kesejahteraan buat semua anak-anak Mummy tidak terkecuali Sam.

“Sebagai ibu, Mummy lihat dia cukup komited dengan bidang yang dicintainya dan bagi Mummy, Sam sememangnya layak dipilih sebagai Bintang Paling Popular,” katanya yang turut ditemani anak-anaknya lain mengiringi Sam ke ABPBH 2010.

Katanya, hubungan kekeluargaan mereka cukup erat, malah kedatangan ke majlis terbabit bukan hanya untuk menemani pelakon terbabit malah menyokong usaha Berita Harian menganjurkan acara gah seumpama itu.

Bercerita mengenai anaknya, si ibu menegaskan kesungguhan Sam terhadap kerja ada kala membuatkan mereka jarang bertemu walau duduk sebumbung.

Cuma dia tidak pernah melupakan ibunya kerana jika ada kesempatan, sebelum pulang ke rumah Sam akan meminta ibunya menunggu untuk makan bersama-sama semata-mata mahu berbual walau pun pada lewat malam.

“Itulah perangai manjanya. Kalau soal kerja memang dia tidak main-main. Sanggup bersengkang mata dan selalunya jika sudah terikat dengan jadual penggambaran, susah untuk berjumpanya di rumah.

“Mummy faham apabila orang sudah beri kepercayaan, dia akan cuba sehabis baik kerana tidak mahu mensia-siakannya. Dia juga bukan jenis bersungut, kalau penat dia tidur. Itu saja,” katanya lagi.

Cuma ketika diumumkan mara sebagai finalis ABPBH 2010, katanya Sam pernah mengatakan enggan meletak sebarang harapan kerana tidak mahu kecewa.

Justeru, sudah pasti Mummy Khaty terharu dan bangga apabila hasil usaha keras Sam selama ini mendapat penghargaan sewajarnya.

“Bukan Mummy mahu memuji Sam sebab dia anak Mummy. Dia bermula awal di bidang lakonan tetapi lambat naik. Dia bekerja keras. Dari dulu Mummy sudah nampak hala tujunya dan hari ini kesungguhannya dihargai.

“Cuma Mummy harap dia sentiasa menjadi dirinya, jangan berubah. Mummy selalu pesan pada anak-anak, biar kita kurang makan jangan kurang ajar. Itu juga pesan Mummy padanya,” katanya.

Di parti selepas majlis, tidak cukup dengan pelukan sesekali kelihatan Sam mencium pipi ibunya sekali gus menggambarkan sememangnya pelakon Ngangkung itu cukup akrab dengan ibunya.

Tambah Mummy Khaty lagi, walau sudah besar panjang, sesekali Sam masih meminta ibunya menyuapkan makanan walaupun hidangan sudah di depan mata.

“Sebenarnya Sam dan kakaknya, Zizie (Ezzette) cukup manja. Tambahan pula kalau dua tiga hari tak berjumpa sebab sibuk dengan kerja, memang mahu makan bersuap.

“Jadi tidak kiralah siapa saja pilihan Sam nanti sebagai calon isteri, Mummy cuma berharap dia dapat menjaga Sam seperti Mummy menjaganya,” ujarnya lagi yang menyatakan Sam amat menggemari masakan ikan keli goreng berlada dan masak lemak telur itik.

No comments:

Post a Comment